Tuesday 13 December 2011

HULU TERENGGANU kekal prestasi UPSR

Hulu Terengganu kekal prestasi UPSR
Posted on November 21, 2011 by

HULU TERENGGANU 20 Nov. – Daerah ini mengekalkan kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 apabila 1,180 daripada 1,523 calonnya mendapat sekurang-kurangnya C dalam mata pelajaran yang diambil.
Dengan pencapaian 77.48 peratus berbanding 71.03 peratus tahun lalu, ia meletakkan daerah ini di tangga pertama dari segi lulus semua mata pelajaran.
Pegawai Pelajaran daerah, Shafruddin Ali Hussin berkata, dari segi gred purata pula, Hulu Terengganu berada di tangga kedua dengan pencapaian 2.04.
“Untuk semua A, Hulu Terengganu mengalami kemerosotan daripada 15.5 peratus kepada 14 peratus dengan 225 orang calon mendapat 5A dan meletakkan daerah ini tempat ketiga di belakang Besut dan Dungun,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kemerosotan itu ditampung oleh kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun yang muncul sekolah terbaik negeri dalam Gred Purata Sekolah (GPS) dengan pencapaian 1.23.
“Ini diikuti SK Tapu di tangga kelima dengan pencapaian 1.30 manakala SK Kemat di tangga ke-10 dengan pencapaian 1.42,” ujarnya.
Selain itu, katanya, lapan sekolah berada dalam senarai 20 sekolah terbaik iaitu SK Kuala Berang (12), SK Seri Berang (13), SK Betong (14), SK Tok Randok (16) dan SK Kuala Jenderis (19).
Beliau mengucapkan penghargaan kepada guru yang sentiasa memberi komitmen tinggi untuk membantu pelajar yang sememangnya bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran di sekolah.
“Daerah ini tidak mempunyai pusat tuisyen untuk membantu murid membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Justeru, banyak program perlu digerakkan di sekolah dengan sokongan padu ibu bapa dan pemimpin masyarakat yang sentiasa memberi sokongan moral dan kewangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment